icon-search
icon-search

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

  • Sejak tiba di bumi al-Madinah al-Munawwarah, Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam telah melaksanakan pelbagai pembangunan termasuk pembangunan insan dan pembangunan bandar sehinggalah bumi Madinah bertukar menjadi sebuah tempat yang maju dan makmur selama tempoh 10 tahun Baginda berdakwah di sana.
  • Dalam sebuah hadis daripada Abdullah Bin Zaid Bin ‘Ashim radhiallahu ta’aala ‘anhu yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim :

إِنَّ إِبْرَاهِيمَ حَرَّمَ مَكَّةَ وَدَعَا لَهَا، وَحَرَّمْتُ الْمَدِينَةَ كَمَا حَرَّمَ إِبْرَاهِيمُ مَكَّةَ وَدَعَوْتُ لَهَا فِي مُدِّهَا وَصَاعِهَا، مِثْلَ مَا دَعَا إِبْرَاهِيمُ عَلَيْهِ السَّلَامُ لِمَكَّةَ

Sesungguhnya Ibrahim ‘alaihissalam menjadikan Makkah itu tanah haram (dengan perintah Allah subhanahu wa ta’aala) dan berdoa untuknya, dan aku juga menjadikan Madinah sebagai tanah haram (dengan perintah Allah subhanahu wa ta’aala) seperti mana Ibrahim ‘alaihissalam mengharamkan Makkah dan aku juga berdoa untuk Madinah pada gantang dan cupaknya seperti mana Ibrahim ‘alaihissalam mendoakan Makkah

  • Seperti mana berkat doa Nabi Ibrahim ‘alaihissalam menjadikan Makkah negeri yang penuh keberkatan, begitu juga Madinah menjadi tempat yang penuh barakah kerana berkat doa Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam
  • Tanah-tanah Madinah menjadi subur dan pohon berbuah lebat dan ranum terutamanya pohon kurma atau bahasa arabnya dipanggil nakhl atau nakhlah
  • Antara pohon kurma yang didoakan oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam secara khusus adalah pohon kurma ‘Ajwa apabila Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda dalam sebuah hadis daripada Sa’ad Bin Abi Waqqas radhiallahu ‘anhu yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim :

مَنْ تَصَبَّحَ بِسَبعِ تَمَرَاتٍ مِنْ عَجْوَةٍ لَمْ يَضُرَّهُ ذَلِكَ الْيَوْمَ سُمٌّ وَلَا سِحْرٌ

Barangsiapa yang berpagi-pagian dengan 7 biji kurma ‘Ajwa, maka dia tidak akan dimudaratkan oleh racun dan sihir pada hari tersebut

  • Apatah lagi jika kurma daripada jenis ‘Ajwa itu adalah ‘Ajwah ‘Aaliyah yang ditanam di kawasan tanah haram berbukit yang dipanggil ‘Aaliyah atau ‘Awaali berhampiran dengan Quba’ yakni di tenggara Madinah kerana sebuah hadis yang diriwayatkan daripada ‘Aishah radhiallahu ta’aala ‘anha yang diriwayatkan oleh Muslim :

إِنَّ فِي عَجْوَةِ الْعَالِيَةِ شِفَاءً - أَوْ إِنَّهَا تِرْيَاقٌ - أَوَّلَ الْبُكْرَةِ

Sesungguhnya pada kurma Ajwa ‘Aliyah itu ada ubat penyembuh - atau ia merupakan penawar - bagi racun apabila dimakan pada awal pagi

  • Ibnu Hajar Al-‘Asqalaani rahimahullah dalam kitabnya Fathul Bari syarah kepada Sahih Al-Bukhari ada menukilkan kata-kata Al-Khattabi rahimahullah :

“Kurma Ajwa bermanfaat bagi mengubati racun dan sihir disebabkan oleh keberkatan doa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam kepada kurma Madinah dan bukan kerana khasiat kurma itu sendiri”

  • Dalam memudahkan kefahaman kita, terdapat jenis kurma seperti ‘Ajwa ini terkenal kerana sebab keagamaan dan keberkatan doa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam tanpa menafikan khasiat semulajadi yang ada di dalamnya ditambah pula dengan tekstur yang lembut dan keenakan rasa yang memukau
  • Begitu juga banyak lagi kurma lain dari segi khasiat walaupun tidak didoakan secara khusus seperti kurma Safawi dan lain-lain
  • Setakat ini pengkaji sejarah menyatakan jenis kurma di seluruh dunia mencecah 2000 jenis dan kajian juga menunjukkan di Madinah sahaja ada 120 jenis kurma
  • Selain daripada kurma ‘Ajwa yang mudah diperolehi di bumi Madinah, kurma Safawi juga sangat mudah ditemui dengan harga yang lebih murah dan berpatutan. Kedua-dua kurma ini juga sangat berkhasiat dan bermanfaat kerana mengandungi galian yang sangat berfaedah kepada tubuh 
  • Secara umumnya kurma telah terbukti keberkesanannya sejak sebelum zaman Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam lagi. Jika kita menyusuri kisah Maryam ‘alaihassalam yang direkodkan dalam Surah Maryam ketika sedang mengandungkan anaknya Isa ‘alaihissalam lalu ketika itu sakit hendak bersalin, maka beliau bersandar kepada sebatang pohon kurma. Lalu beliau terdengar seruan menyuruh goyangkan pokok supaya gugur kurma tersebut yang dapat mengenyangkan dan menyembuhkan kesakitan dengan izin Allah subhanahu wa ta’aala.
  • Kesimpulannya pengambilan kurma seperti kurma ‘Ajwa atau Safawi atau mana-mana kurma sekali pun sangat digalakkan. Sekiranya kurma terbaik iaitu ‘Ajwa kehabisan, maka jangan diabaikan atau ditinggalkan pemakanan kurma jenis lain kerana fadhilat kesihatan tetap ada. Yang paling penting apabila mengambil kurma itu, doa lah kepada Allah subhanahu wa ta’aala agar diberikan kesihatan yang baik dan kesembuhan daripada penyakit kerana kurma adalah asbab sedangkan Allah adalah As-Shaafi iaitu Yang Maha Menyembuhkan
Your cart is currently empty.
Continue shopping